Tham gesa pelan pemulihan Likas Waterfront utamakan alam sekitar
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook menyambut baik pelan pemulihan Likas Waterfront, namun mengingatkan supaya aspek sistem pembetungan dan rawatan kumbahan diberi keutamaan bagi mengelakkan pencemaran Teluk Likas.
Beliau berkata, kerjasama antara Sabah Economic Development Corporation (SEDCO), Sedcovest Holdings Sdn Bhd dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menaik taraf Anjung Selera dan Anjung Perdana adalah langkah tepat dalam memperkukuh sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
Menurutnya, Likas mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan kerana kedudukannya yang strategik, pemandangan Teluk Likas serta kemudahan sedia ada.
“Jika dirancang dengan baik, projek ini mampu menjadi satu lagi produk pelancongan utama di Kota Kinabalu, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS),” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata pembangunan fizikal perlu diseimbangkan dengan penyediaan sistem pembetungan dan loji rawatan kumbahan yang mencukupi bagi memastikan Teluk Likas tidak tercemar.
“Kita tidak mahu projek yang kelihatan indah tetapi akhirnya memberi kesan negatif kepada alam sekitar. Pembangunan dan kelestarian perlu bergerak seiring,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan mendapatkan pandangan penduduk, peniaga dan pertubuhan berkaitan sebelum projek dilaksanakan serta mendedahkan pelan pembangunan secara telus.

