Tiga malam, 10 artis meriahkan Gegar Sri Semantan 2.0 di Sandakan
SANDAKAN: Sandakan menjadi lokasi penganjuran Gegar Sri Semantan 2.0, acara tiga hari yang menghimpunkan persembahan 10 artis serta pelbagai aktiviti untuk pengunjung.
Program yang berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos 2026 di lot parkir bersebelahan Mydin Sandakan itu dibahagikan kepada tiga segmen utama.
Malam pertama menampilkan konsep Malam Klasik bersama Den Bisa, Fadzlee Wahab dan Fiq Halim, manakala malam kedua bertemakan Malam Galau dengan persembahan Ameng, Man Solo, Sumarli dan Joy Shazrie.
Pada malam terakhir, Ruffedge, Ezad Lazim dan Felix Agus dijadual menghiburkan pengunjung menerusi Grand Concert.
Selain konsert, acara berkenaan turut menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan karaoke, fesyen, mewarna, Ibu Anggun, tarian Daling-Daling, kejohanan MLBB dan sukan rakyat.
Cabutan bertuah turut menjadi tarikan utama dengan sebuah Nissan Navara 4×4 tahun 2015 ditawarkan sebagai hadiah utama, di samping motosikal, skuter, barangan elektrik dan pelbagai hadiah lain.

