Tiga mangsa terkena renjatan elektrik di Weston
BEAUFORT: Tiga mangsa dilaporkan terkena renjatan elektrik dalam satu kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan panggilan kecemasan diterima melalui talian MERS 999 pada jam 5.56 petang.
Susulan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai bomba.
Operasi diketuai oleh PBK I Irwan Abdul, manakala Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, PPgB Ishak Jabas, turut memantau perkembangan operasi.
Selain anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity turut berada di lokasi bagi membantu operasi serta memastikan kawasan kejadian selamat sebelum tindakan menyelamat dijalankan.
Bagaimanapun, sehingga kini operasi masih berlangsung dan pihak berkuasa belum mengesahkan keadaan sebenar ketiga-tiga mangsa.
JBPM Sabah memaklumkan perkembangan lanjut berhubung kejadian itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa selepas operasi di lokasi selesai.

