Tujuh tahun diburu, pemilik akaun kes tipu RM900 ditahan

BEAUFORT: Selepas tujuh tahun, polis akhirnya menahan seorang lelaki dipercayai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes penipuan membabitkan kerugian RM900 pada 2019.

Suspek berusia 30 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menerusi Ops Kesan Khas 1/2026.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Champin Piuh berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, mangsa kemudian membuat pindahan wang mengikut arahan diberikan sehingga mengalami kerugian RM900.

“Suspek dipercayai berperanan sebagai pemilik akaun yang digunakan dalam transaksi berkenaan sebelum berjaya dikesan dan ditahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi.

Champin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai penguat kuasa atau wakil institusi kewangan.

Beliau berkata orang ramai juga tidak seharusnya menyerahkan kad ATM, maklumat perbankan atau akaun bank kepada pihak lain kerana boleh disalahgunakan sebagai akaun keldai.

Berita Berkaitan