Ucapan Noorazli: 13 laporan polis di Sabah, kes dirujuk Bukit Aman
KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima 13 laporan setakat tengah hari semalam berhubung ucapan Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, yang didakwa menyentuh sensitiviti agama ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata laporan berkenaan dibuat oleh pelbagai lapisan masyarakat dan semuanya telah dirujuk kepada laporan awal yang dibuat di Kelana Jaya, Selangor.
“Kesemua laporan itu telah kita rujuk kepada laporan polis awal yang dibuat di Kelana Jaya dan siasatan dibuat oleh pihak Bukit Aman,” katanya selepas merasmikan pembukaan Galeri Polis Sabah kepada orang awam.
Jauteh pada masa sama meminta masyarakat tidak mengambil tindakan sendiri atau bertindak mengikut emosi ketika isu berkenaan masih mendapat perhatian di media sosial.
Menurutnya, orang ramai perlu memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara telus.
“Kita mengharapkan supaya masyarakat melihat perkara ini secara matang.
“Laporan polis yang telah dibuat sudah diambil tindakan oleh PDRM, khususnya bagi memastikan siasatan yang telus dijalankan,” katanya.
Ucapan Noorazli menjadi kontroversi selepas rakaman ucapannya pada PAU 2026 yang merujuk kepada paderi dan biarawati Katolik tersebar di media sosial.
Dalam perkembangan terbaharu di peringkat nasional, polis memaklumkan sebanyak 86 laporan telah diterima dan percakapan 93 individu dirakam berhubung kes itu. Kertas siasatan dijadual dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 18 Sept untuk arahan lanjut.

