Usahawan Sabah perlu kukuh asas perniagaan sebelum cari modal – Dexter
KOTA KINABALU: Usahawan Sabah yang berhasrat mengembangkan perniagaan ke pasaran nasional dan serantau perlu memperkukuh pengurusan, membina pasukan berkebolehan serta menyediakan strategi pertumbuhan yang jelas sebelum mendapatkan pembiayaan tambahan.
Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah merangkap Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau berkata, akses kepada modal semata-mata tidak menjamin kejayaan sesebuah syarikat tanpa asas perniagaan yang kukuh.
Menurutnya, usahawan perlu memahami hala tuju perniagaan, kemampuan operasi dan kedudukan kewangan sebelum merancang pengembangan ke pasaran lebih luas.
“Anda mesti mempunyai pelan yang jelas,” katanya ketika menjadi ahli panel forum Kembara Borneo 2026 – Sabah yang berlangsung pada 14 Oktober lalu.
Program anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Capital Markets Malaysia (CMM) itu menghimpunkan pemimpin industri serta pemain pasaran modal bagi membincangkan peluang pembiayaan dan pertumbuhan perusahaan tempatan.
Dexter yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Federation of Public Listed Companies Berhad (FPLC) berkata, usahawan tidak seharusnya terlalu mengejar pembiayaan atau meniru kejayaan syarikat lain tanpa mengambil kira kemampuan dan cabaran perniagaan sendiri.
Sebaliknya, beliau menegaskan pelan perniagaan yang realistik serta disokong prestasi kewangan yang baik mampu meningkatkan keyakinan institusi kewangan, pelabur dan rakan strategik.
“Usahawan perlu memahami angka perniagaan mereka, termasuk pendapatan, margin keuntungan kasar, kos operasi, kos pembiayaan dan keuntungan bersih,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pasukan pengurusan yang stabil bagi memastikan pertumbuhan syarikat dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
Menurutnya, pelabur bukan hanya menilai potensi keuntungan, tetapi turut mengambil kira keupayaan pengurusan, kestabilan operasi dan keberkesanan penggunaan modal.
Penyenaraian awam perkukuh tadbir urus
Berkongsi pengalaman KTC berkembang daripada sebuah syarikat berpangkalan di Sabah kepada kumpulan perniagaan yang mempunyai rangkaian seluruh negara, Dexter berkata, proses penyenaraian awam membantu memperkukuh struktur pengurusan dan tadbir urus korporat syarikat.
Katanya, proses penelitian dan penilaian oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mendorong KTC menambah baik amalan perniagaan, kepimpinan serta pengurusan operasi.
Beliau berkata, penyenaraian awam bukan sekadar platform mendapatkan modal, sebaliknya membentuk disiplin dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam organisasi.
Sehubungan itu, Dexter menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Sabah memanfaatkan platform seperti Kembara Borneo untuk mendapatkan bimbingan secara langsung daripada pengawal selia, pelabur dan profesional pasaran modal.
Menurutnya, pendedahan berkenaan dapat membantu usahawan mengenal pasti kelemahan operasi, memahami jangkaan pelabur serta membuat persediaan sebelum mendapatkan pembiayaan.
Sementara itu, moderator forum, Tan Sri Andrew Sheng berkata, jaringan perniagaan merentas industri dan rantau mampu membuka peluang baharu kepada syarikat Sabah untuk menembusi pasaran global.
Forum bertajuk Building Sabah’s Next Growth Champions: Capital, Scale and Market Access itu turut menampilkan Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datin Paduka Azalina Adham sebagai ahli panel.
Kembara Borneo 2026 – Sabah bertujuan meningkatkan kesedaran PMKS dan syarikat pertengahan mengenai peluang pembiayaan pasaran modal, selain memperkukuh hubungan antara komuniti perniagaan, pelabur dan agensi berkaitan.
— SABAH NEWS TODAY

