Wanita 21 tahun maut, Myvi rempuh pokok di Tawau

TAWAU: Seorang wanita berusia 21 tahun maut selepas Perodua Myvi yang dinaikinya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Bulatan Airport Lama, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.29 pagi itu, mangsa yang berada di tempat duduk pemandu tersepit dalam kenderaan, manakala seorang lagi individu mengalami kecederaan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba lima minit kemudian dan mendapati sebuah Perodua Myvi terbabas sendiri lalu melanggar sebatang pokok.

“Terdapat dua mangsa dalam kejadian itu, iaitu seorang wanita dewasa tersepit di bahagian pemandu, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas penyelamatan (rescue tools),” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, wanita terbabit disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas berjaya dikeluarkan pada jam 2.50 pagi.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan ambulans.

Operasi menyelamat diketuai PBK I Zougrana Konin dengan kekuatan tujuh anggota menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Turut berada di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.31 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan