Warga emas maut dikelar, polis tahan lelaki warga asing di Papar
PAPAR: Seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun ditemukan maut dengan kesan kelar pada leher di kediamannya di Kampung Gading, Ulu Bongawan, di sini, pada Sabtu, dipercayai akibat perselisihan faham berkaitan hutang pembelian barangan runcit.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam bagi membantu siasatan kes pembunuhan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Papar, Supt Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di rumahnya kira-kira jam 6.15 petang.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian leher yang dipercayai akibat dikelar menggunakan senjata tajam.
âSiasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan hutang pembelian barangan runcit antara suspek dengan mangsa.
âBagaimanapun, motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan,â katanya ketika dihubungi.
Heryan berkata, suspek berjaya dikesan dan ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan kuarters pekerja ladang di kampung sama.
Katanya, tangkapan dilakukan menerusi operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
âBeberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas untuk pemeriksaan dan analisis forensik.
âKes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut,â katanya.
Beliau menegaskan polis memandang serius jenayah kekerasan dan akan memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh serta profesional.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Papar atau mana-mana balai polis berhampiran.
â SABAH NEWS TODAY

