Waris Mengkabong, Tandek Laut temui semula pertalian keluarga

KOTA MARUDU: Pertalian keluarga antara waris Teluk Mengkabong di Tuaran dan Kampung Tandek Laut di Kota Marudu yang terputus sekian lama berjaya dikenal pasti semula menerusi penyelidikan salasilah.

Penemuan itu diperoleh dalam Perbincangan Kumpulan Terfokus di Kampung Tandek Laut yang menghimpunkan wakil utama kedua-dua jurai keluarga.

Ketua waris Mengkabong, Salleh Mamun dan wakil Tandek Laut, Yunus Hj Odis antara yang terlibat dalam proses semakan berkenaan.

Penyelidikan diketuai Profesor Madya Dr Jakaria Dasan dari Universiti Malaysia Sabah, yang juga waris Teluk Mengkabong dan aktif menjejaki sejarah keturunan masyarakat itu.

Semakan silang terhadap manuskrip tradisional mendapati ‘Pengiran Erom’ yang disebut dalam naskhah Mengkabong dan ‘Panggiran Irom’ dalam salasilah Tandek Laut adalah individu sama.

Tokoh itu dikenal pasti berasal daripada susur galur Raja Tua Mengkabong.

Penemuan berkenaan membantu menjelaskan kekeliruan mengenai identiti tokoh terbabit yang sebelum ini mempunyai beberapa versi dalam sejarah lisan.

Wakil waris berkata penyatuan salasilah itu turut membuka ruang untuk mengeratkan semula hubungan kekeluargaan antara masyarakat Mengkabong dan Tandek Laut.

Mereka berharap usaha mendokumentasikan sejarah keluarga dapat diteruskan bagi memastikan warisan dan sejarah lisan masyarakat pesisir Sabah tidak hilang.

Berita Berkaitan