YPNM gesa KPDN perhebat pemeriksaan kualiti RON95 di seluruh Sabah
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperhebat pemeriksaan serta pemantauan kualiti petrol RON95 di semua stesen minyak di Sabah bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.
Pengerusinya, David Chan berkata, langkah pencegahan itu perlu diberi perhatian serius susulan laporan mengenai dakwaan petrol RON95 bercampur air di beberapa stesen minyak di Kedah baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun siasatan dan ujian makmal pihak berkuasa masih dijalankan, kejadian yang dilaporkan itu seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak supaya tidak mengambil mudah soal kualiti bahan api yang dijual kepada orang ramai.
“Jangan tunggu sehingga pengguna menjadi mangsa, kenderaan rosak dan terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit, barulah tindakan diambil. Pencegahan awal jauh lebih penting daripada tindakan selepas kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
David berkata, YPNM Sabah mahu KPDN mempergiat pemeriksaan mengejut serta pengambilan sampel petrol RON95 dan bahan api lain secara rawak di stesen minyak, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, sampel berkenaan perlu menjalani ujian kualiti bagi memastikan bahan api yang dipasarkan benar-benar mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
Beliau menegaskan, petrol bukan sekadar keperluan harian, malah menjadi nadi pengangkutan, kegiatan ekonomi dan kehidupan rakyat Sabah yang sebahagian besarnya bergantung kepada kenderaan persendirian.
“Bayangkan pengguna yang mengisi minyak menggunakan wang hasil titik peluh sendiri, tetapi akhirnya terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membaiki kenderaan akibat bahan api tercemar.
“Keadaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana kerosakan sistem bahan api, pam minyak, penyuntik bahan api dan enjin boleh mengakibatkan kos pembaikan yang tinggi, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Sehubungan itu, David mengingatkan pengusaha stesen minyak serta syarikat pembekal bahan api supaya memperketat prosedur kawalan kualiti, termasuk pemeriksaan tangki simpanan, proses penghantaran dan pengendalian bahan api.
Beliau berkata, sekiranya siasatan membuktikan wujud unsur kecuaian, penyelewengan atau perbuatan sengaja mencemarkan bahan api demi keuntungan, tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang perlu dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan keselamatan dan kepentingan pengguna. Keuntungan perniagaan tidak boleh mengatasi hak rakyat untuk mendapatkan bahan api yang berkualiti dan selamat digunakan,” tegasnya.
David turut menggesa supaya mekanisme tuntutan pampasan yang jelas diwujudkan bagi membantu pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan sekiranya terbukti berpunca daripada bahan api tercemar.
Katanya, pengguna tidak sepatutnya dibiarkan berdepan kesukaran mendapatkan pembelaan, lebih-lebih lagi apabila kerosakan itu bukan berpunca daripada kecuaian mereka sendiri.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyimpan resit pembelian petrol sebagai bukti transaksi.
Sekiranya kenderaan mengalami masalah luar biasa selepas mengisi minyak, pengguna disaran mendapatkan pemeriksaan bengkel, menyimpan laporan kerosakan dan dokumen kos pembaikan serta segera membuat aduan rasmi kepada KPDN.
“YPNM Sabah tidak mahu perkara yang dilaporkan berlaku di negeri lain berulang di Sabah. Kita mahu tindakan pencegahan dilaksanakan sekarang, bukan selepas rakyat menanggung kerugian.
“Keselamatan pengguna mesti menjadi keutamaan. Setiap liter petrol yang dibayar rakyat perlu memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan,” katanya.
David berkata, YPNM Sabah menghargai usaha penguatkuasaan KPDN dan berharap kerjasama berterusan antara pihak berkuasa, pengusaha stesen minyak serta pengguna dapat memastikan kualiti bahan api di Sabah sentiasa terpelihara.

