Yusof Apdal nafi tarik diri daripada Kabinet Perpaduan

LAHAD DATU: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal menafikan dakwaan tular kononnya beliau meletakkan jawatan dan menarik diri daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Yusof berkata dakwaan yang tersebar di media sosial itu tidak benar dan berniat jahat, selain boleh mengelirukan masyarakat.

“Saya masih kekal sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan terus memikul amanah serta tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahli Parlimen Lahad Datu daripada Parti Warisan itu berkata penyebaran maklumat palsu berkenaan bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah disifatkannya sebagai cubaan memburukkan nama baik beliau.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan berita yang belum disahkan dan sentiasa merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat tepat serta sahih.

Terdahulu, satu hantaran di media sosial mendakwa Yusof membuat keputusan menarik diri daripada jawatan Timbalan Menteri berkuat kuasa hari ini.

Berita Berkaitan