SANDAKAN: Empat individu bukan warganegara ditahan selepas dipercayai terbabit dalam sindiket mencuri dan mengagihkan bekalan elektrik secara haram di beberapa penempatan setinggan di daerah ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran antara RM40 hingga RM100 kepada setiap rumah yang menerima bekalan elektrik secara haram.
Katanya, operasi bersepadu selama tiga hari itu membabitkan 80 pegawai daripada ECoS, Sabah Electricity (SE), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Air Negeri Sabah.
“Selain empat tangkapan, sebanyak 35 lagi kes sedang disiasat membabitkan 26 bukan warganegara dan sembilan warganegara,” katanya.
Beliau berkata, operasi seperti itu akan diteruskan bagi membanteras kegiatan yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengundang risiko renjatan elektrik dan kebakaran.
