14 penjaja tanpa lesen kena serbu, empat kenderaan disita
KOTA KINABALU: Aktiviti 14 penjaja tanpa lesen di tempat letak kereta bersebelahan Pasar Besar Kota Kinabalu terbongkar selepas Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melaksanakan operasi bersepadu di kawasan itu.
Operasi selama dua hari pada 1 dan 2 Ogos lalu bermula jam 10 malam membabitkan 43 anggota Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan DBKK.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 14 penjaja menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen sah di kawasan tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 1966.
Daripada jumlah itu, sembilan penjaja ditawarkan kompaun mengikut UUK Penjaja 3(11), manakala beberapa peralatan perniagaan turut disita.
Tindakan lebih tegas turut diambil apabila empat kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen disita.
DBKK menegaskan operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan penjaja mematuhi peraturan dan undang-undang kecil di sekitar bandar raya.

