SEDCO teliti kerjasama AI dengan UMS pacu ekonomi maritim Sabah
KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) akan meneliti cadangan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan sektor ekonomi maritim negeri.
Pengerusi Kumpulan SEDCO, Datuk Masiung Banah berkata teknologi AI mempunyai potensi berimpak tinggi dalam memperkukuh ekonomi biru, khususnya aktiviti ekonomi berasaskan sumber dan hasil laut.
Beliau berkata satu mesyuarat khas bersama pengurusan tertinggi SEDCO akan diadakan bagi meneliti cadangan UMS itu, selaras dengan pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat (KBEIP).
Cadangan kerjasama itu dikemukakan delegasi UMS yang diketuai Penolong Naib Canselor, Prof Dr Rayner Alfred bersama Prof Madya Dr Mohammad Puad Debit dalam kunjungan hormat kepada SEDCO.
Menurut Masiung, kepakaran UMS menerusi Malaysia AI Centre of Excellence (MAICoE) berpotensi dimanfaatkan dalam inovasi ekonomi maritim serta pendigitalan sektor pelancongan pesisir dan kepulauan.
Katanya, sebagai agensi pelaburan kerajaan Sabah, SEDCO akan menilai kesesuaian teknologi dan kepakaran UMS dengan program pembangunan yang sedang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Masiung berkata SEDCO kini menyusun kerangka bagi menjadikan Sabah sebagai hab ekonomi maritim, dengan KBEIP di Kudat dirancang berteraskan teknologi hijau dan pemanfaatan sumber laut.

