153 individu terima darjah kebesaran, bintang dan pingat Sabah
KOTA KINABALU: Seramai 153 individu menerima Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang serta Pingat-pingat Negeri Sabah sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.
Istiadat pengurniaan berlangsung di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Pengurniaan dimulakan dengan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) yang membawa gelaran Datuk kepada Ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan dan pakar perubatan hospital swasta, Datuk Dr Ahmad Ashraf Zaini Amat, diikuti 13 penerima lain.
Tun Musa turut menganugerahkan Jaksa Pendamai (J.P) kepada tokoh korporat, Muhammad Yazrin Zaifuddin Zainuddin.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Kementerian Kesihatan, Datuk Ir. Ts. Huszian Husin; Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar dan penulis serta pengkaji sejarah tempatan, Abednigo Chow Yau Shung antara 23 penerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K).
Seramai 34 individu pula menerima Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K), antaranya bekas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda; Presiden Persatuan Orang Kerdil Sabah, Asna @ Asnah Yusop; pengarah, penyanyi dan pelakon Ebi Kornelis @ Firdaus Yaimal serta Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Sabah, Emran @ Azmi Rosle.
Selain itu, 37 individu menerima Bintang Setia Kinabalu (B.S.K), 30 dianugerahkan Bintang Kinabalu (B.K), manakala 13 lagi menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T).

