Emas SUKMA penamat manis Nur Aina, kejar impian bergelar doktor
SUBANG JAYA: Kejayaan meraih pingat emas acara 10 meter (m) air rifle wanita SUKMA Selangor 2026 menjadi penamat manis buat penembak Sabah, Nur Aina Natasya Anderson yang mahu memberi tumpuan kepada pengajian dalam bidang perubatan mulai September ini.
Atlet berusia 19 tahun itu bakal melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS), namun tidak menolak kemungkinan kembali ke lapang sasar sekiranya mampu mengimbangi tuntutan akademik dan sukan.
“Kiranya memang inilah yang terakhir sebab saya mahu melanjutkan pelajaran dan kursus saya (perubatan) susah.
“Kalau diberi peluang, mahu juga (terus menembak), tapi saya usahakan dulu untuk seimbangkan pengajian dan sukan,” katanya selepas pertandingan hari ini.
Nur Aina Natasya meraih emas selepas mengumpul 244.8 mata, mengatasi wakil Pahang, Nur Auni Arissa Azaha dengan perbezaan tipis 0.6 mata, manakala Nor Alya Aqila Mahathir dari Perak meraih gangsa dengan 223.4 mata.
Kejayaan itu turut menebus kekecewaannya selepas gagal mara ke pusingan akhir pada SUKMA Sarawak dua tahun lalu.
Nur Aina Natasya masih mempunyai misi memburu emas dalam dua lagi acara disertainya sebelum memberi tumpuan kepada pengajian dan mengejar impian bergelar doktor.

