169 PATI dicekup dalam lima hari di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 169 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 46 kanak-kanak ditahan dalam kira-kira 25 operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di tujuh daerah negeri ini.

Operasi yang dijalankan selama lima hari bermula 13 hingga 17 Oktober lalu itu membabitkan pemeriksaan terhadap 530 individu di beberapa lokasi strategik.

Tujuh daerah terbabit ialah Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kudat, Tenom dan Keningau.

JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kehadiran PATI selain mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.

Menurutnya, warga Filipina mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 131 individu, terdiri daripada 53 lelaki dewasa, 39 wanita dewasa, 19 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan ialah 36 warga Indonesia membabitkan 14 lelaki dewasa, 15 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.

“Selain itu, dua lelaki dewasa warga Pakistan turut ditahan dalam operasi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa di seluruh negeri bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi.

Katanya, tindakan berterusan itu penting bagi membanteras kehadiran warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.

“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan PATI melalui saluran aduan rasmi Jabatan Imigresen Malaysia bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu.

Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan