Bom ikan berleluasa di Labuan, Rafi gesa tindakan tegas
LABUAN: Dakwaan kegiatan menangkap ikan menggunakan bom yang semakin berleluasa di perairan Labuan mencetuskan kebimbangan komuniti pemancing, sekali gus mendorong Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menggesa pihak berkuasa segera bertindak.
Beliau berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh memusnahkan ekosistem marin, menjejaskan sumber pendapatan nelayan serta mengancam keselamatan masyarakat.
Katanya, aduan yang tular di media sosial mengenai kegiatan berkenaan perlu disiasat segera sebelum khazanah laut Labuan terus terancam.
“Saya memandang serius aduan yang tular mengenai kegiatan menangkap ikan menggunakan bom yang didakwa semakin berleluasa di perairan Labuan.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah merosakkan ekosistem marin dan mengancam sumber rezeki nelayan serta keselamatan masyarakat,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Mohd Rafi menggesa Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan agensi berkaitan memperketat rondaan serta mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbukti terbabit.
“Kita semua perlu berganding bahu untuk membanteras kegiatan ini sebelum khazanah laut kita musnah,” katanya.
Sementara itu, seorang pemancing tempatan, Julially Simon mendakwa beliau bersama rakan-rakannya terserempak dengan kegiatan menangkap ikan menggunakan bom selama tiga minggu berturut-turut.
Menurutnya, kegiatan itu didakwa dilakukan secara terbuka sehingga mereka akhirnya memberanikan diri menghalau individu yang disyaki terbabit.
“Tiga minggu berturut-turut kami terserempak dengan kejadian begini. Kali ini kami memberanikan diri untuk menghalau mereka selepas beberapa kali mereka membuat aktiviti haram ini,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Julially turut menggesa pihak berkuasa meningkatkan rondaan dan pemantauan kerana penggunaan bom ikan boleh memberi kesan buruk kepada keseluruhan ekosistem marin.
Mohd Rafi dalam pada itu menghargai keberanian komuniti pemancing yang tampil mendedahkan dakwaan berkenaan.
“Laut Labuan adalah khazanah dan sumber rezeki rakyat. Jangan biarkan kerakusan segelintir pihak menghancurkan masa depan generasi kita,” tegasnya.
Bagaimanapun, dakwaan kegiatan bom ikan itu masih memerlukan pengesahan dan siasatan pihak berkuasa.
— SABAH NEWS TODAY

