17 individu dikompaun buang sampah di Sinsuran
KOTA KINABALU: Seramai 17 individu dikenakan kompaun kerana membuang sampah termasuk puntung rokok di tempat awam menerusi Operasi Bersih yang dijalankan di Sinsuran, di sini.
Operasi pada 11 Ogos lalu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tindakan berterusan bagi memastikan tahap kebersihan dan kelestarian persekitaran bandar raya sentiasa terpelihara.
Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 17 kompaun dikeluarkan dan semuanya membabitkan kesalahan individu meletakkan atau membuang sampah di tempat awam.
Penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan masyarakat mematuhi peraturan kebersihan selain mengelakkan perbuatan membuang sampah secara sewenang-wenangnya.
Orang ramai turut diingatkan bahawa pemantauan sentiasa dilakukan dan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan.
Masyarakat diminta memberikan kerjasama dengan menjaga kebersihan kawasan awam demi memastikan imej bandar raya terus terpelihara.

