Jengkaut tersangkut jejambat Segama, trafik terganggu
Sebuah treler membawa jengkaut tersangkut ketika cuba melalui bawah jejambat Segama di Kota Kinabalu, kira-kira jam 1 tengah hari Selasa.
Kejadian berlaku selepas ketinggian muatan dipercayai melebihi had laluan menyebabkan bahagian jengkaut terkena dan tersangkut pada struktur jejambat.
Treler berkenaan kemudian tidak dapat bergerak sekali gus menyebabkan aliran trafik di kawasan itu terganggu.
Difahamkan, kejadian seumpama itu pernah berlaku sebelum ini membabitkan kenderaan berat membawa muatan tinggi.
Insiden berulang turut menimbulkan persoalan mengenai pematuhan had ketinggian oleh kenderaan berat yang melalui kawasan berkenaan.
Bagi membolehkan treler meneruskan perjalanan, bahagian lengan jengkaut dipercayai perlu dilaraskan semula untuk merendahkan ketinggian muatan.
Kejadian itu sekali lagi menjadi peringatan kepada pengendali dan pemandu kenderaan berat supaya memastikan dimensi muatan bersesuaian dengan laluan yang dipilih.

