3,000 dijangka meriahkan Hari Malaysia peringkat Sabah di SICC

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 3,000 orang dijangka menghadiri Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), 16 September ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan berkenaan.

“Kita jangkakan minimum 3,000 orang, sebab itu saya jemput kalau boleh lebih ramai lebih baik. Lagipun, ia diadakan setahun sekali,” katanya pada sidang media sambutan berkenaan.

Menurutnya, orang ramai dijangka hadir seawal jam 6 petang, manakala acara rasmi dijadualkan bermula jam 8 malam.

Jafry berkata lokasi sambutan dipindahkan dari Padang Merdeka ke SICC berikutan keadaan cuaca tidak menentu serta mengambil kira faktor keselamatan.

Beliau berkata sambutan Hari Malaysia bukan sekadar acara tahunan atau cuti umum, sebaliknya perlu menjadi ruang untuk masyarakat, khususnya generasi muda, memahami sejarah pembentukan negara serta menghayati semangat kemerdekaan.

Katanya, kepelbagaian etnik, bangsa dan agama di Sabah juga perlu terus dipertahankan sebagai kekuatan negeri.

Sambutan peringkat Sabah akan berlangsung serentak dengan sambutan peringkat kebangsaan di Kuching, Sarawak, yang menjadi tuan rumah tahun ini.

Menurut Jafry, Sabah berkemungkinan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun depan.

Berita Berkaitan