43 paip air haram dipotong, lelaki ditahan
SANDAKAN: Jabatan Air Sabah (JAS) memotong 43 sambungan paip air haram dalam Operasi Bersepadu Mega di dua kawasan setinggan di Kampung Mangkalinau, Batu 3, hari ini.
JAS dalam kenyataan berkata, operasi dari jam 7 pagi hingga 3 petang itu turut menyaksikan penahanan seorang lelaki tempatan serta rampasan dua pam air yang dipercayai digunakan bagi sambungan paip haram.
Operasi membabitkan 89 anggota daripada JAS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Sabah Electricity dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
Menurut JAS, operasi itu bertujuan membanteras penyambungan paip air secara haram dan mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).
Kes disiasat mengikut Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

