Shafie hormati keputusan mahkamah, akan fail rayuan

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menghormati keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkannya atas kesalahan menghina mahkamah dan mengesahkan akan memfailkan rayuan.

Dalam kenyataan hari ini, Shafie berkata beliau telah mengarahkan peguamnya mengemukakan rayuan, selain menyerahkan proses itu kepada mahkamah untuk diputuskan mengikut lunas undang-undang.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan rayuan. Biarlah proses undang-undang berjalan mengikut lunasnya,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, amanahnya kepada rakyat tidak berubah walaupun berdepan prosiding berkenaan.

Menurutnya, sejak awal isu itu bukan mengenai dirinya, sebaliknya mengenai pemergian seorang kanak-kanak yang menyentuh hati rakyat di seluruh negara.

Beliau berkata harapannya hanyalah agar kebenaran ditegakkan, keadilan dilaksanakan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus diperkukuhkan.

Memandangkan perkara itu kini berada di hadapan mahkamah rayuan, Shafie berkata beliau tidak akan mengulas lanjut dan akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan penuh integriti serta menghormati kedaulatan undang-undang.

Berita Berkaitan