781 veteran ATM dapat kerja, gaji cecah RM5,000

KOTA KINABALU: Seramai 781 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya memperoleh pekerjaan dengan purata gaji antara RM2,970 hingga RM5,000 menerusi inisiatif Kerjaya Kedua Perwira di bawah Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Kejayaan itu membuktikan bekas anggota tentera masih mempunyai peluang luas untuk membina kerjaya kedua dalam sektor strategik termasuk aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan selepas menamatkan perkhidmatan dalam ATM.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Ahmad Shafirudin Abu Bakar berkata, sehingga September 2026, seramai 1,409 bakal pesara dan veteran ATM mendapat manfaat menerusi program berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 781 veteran berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor strategik dengan purata gaji RM2,970 hingga RM5,000, manakala 628 lagi sedang mengikuti latihan industri.

“Saya percaya angka ini akan terus meningkat dengan memperkukuh kebolehpasaran, memperluas penempatan pekerjaan dalam sektor strategik bernilai tinggi serta memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen PERHEBAT Ke-71 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, di sini, pada Selasa.

Ahmad Shafirudin berkata, PERHEBAT perlu terus memainkan peranan sebagai institusi peralihan kerjaya yang progresif dengan memastikan kemahiran dan pengalaman anggota tentera memenuhi keperluan sebenar industri.

Menurutnya, anggota ATM tidak seharusnya bergantung kepada kelayakan akademik asal semata-mata apabila memasuki pasaran pekerjaan selepas bersara.

Katanya, pengalaman dan kemahiran teknikal yang diperoleh sepanjang perkhidmatan tentera perlu diberi pengiktirafan sewajarnya bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Pendekatan Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) yang dibangunkan sejak 2017 bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) membolehkan kemahiran serta pengalaman anggota diiktiraf secara formal,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak lapan program latihan PERHEBAT turut mendapat pengiktirafan Pensijilan Pembangunan Profesional daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), sekali gus meningkatkan keyakinan industri terhadap kebolehan graduan.

Malah, katanya, 10 peserta Program Latihan Kemahiran Industri – East Coast Rail Link (PLKI-ECRL) berjaya menamatkan kursus Railway Power Supply Technology di Liuzhou, China.

“Kumpulan ini bakal menjadi antara veteran pertama yang merintis kerjaya dalam operasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersama Malaysia Rail Link,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shafirudin mengingatkan anggota ATM yang bakal bersara sekitar usia 40-an supaya tidak terlalu lama berehat selepas menamatkan perkhidmatan, sebaliknya segera merebut peluang membina kerjaya baharu.

Beliau turut menyeru golongan veteran supaya terus menjadi duta pertahanan nasional dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mempertahankan kedaulatan negara.

Pada majlis berkenaan, seramai 127 anggota menerima Sijil Latihan Peralihan, manakala 66 anggota dan veteran ATM dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi program RPEL.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan