PHRS tampil bantu mangsa kebakaran Hilltop, hulur sumbangan awal
TAWAU: Prihatin dengan nasib penduduk yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran besar di Kampung Sentosa, Jalan Utara Baru Hilltop, di sini, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) tampil menghulurkan sumbangan awal kepada mangsa, pada Rabu.
Sumbangan berupa air mineral kotak itu disalurkan bagi membantu memenuhi keperluan segera penduduk yang terjejas selepas api memusnahkan 30 rumah dalam kejadian awal pagi berkenaan.
Ketua Penerangan PHRS, Jany Sahak berkata, bantuan itu merupakan tanda keprihatinan parti terhadap mangsa yang berdepan detik sukar akibat kehilangan kediaman dan harta benda.
Menurutnya, walaupun sumbangan berkenaan hanya berupa bekalan air minuman, ia diharap dapat membantu meringankan sedikit beban mangsa.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap semua keluarga yang terjejas, khususnya mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata.
Jany berharap mangsa kebakaran terus mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya daripada pelbagai pihak bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan selepas tragedi itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.44 pagi itu, sebanyak 30 rumah musnah, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, Jackson Zack, ditemukan rentung di bilik tidur rumahnya.
Kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 250 rumah berhampiran daripada turut dijilat api.
— SABAH NEWS TODAY

