Sprinkler bantu elak kebakaran merebak di Bataras Kolombong
KOTA KINABALU – Tindakan pantas sistem sprinkler bangunan berjaya menghalang kebakaran di bahagian food court Bataras Hypermarket Kolombong daripada merebak lebih besar dalam kejadian pada Rabu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.45 pagi sebelum menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas ke lokasi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan dapur memasak sebuah gerai makanan sebelum api merebak ke sistem pengudaraan (ventilation) bangunan dan menyebabkan kira-kira 30 peratus kawasan berkenaan terbakar.
Beliau berkata, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan satu pancutan air daripada pili bomba, manakala sistem sprinkler turut membantu mengelakkan api daripada merebak.
“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu. Operasi dikawal pada jam 12.29 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.35 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.
Operasi melibatkan 45 anggota daripada BBP Lintas, BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu serta dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.

