Projek Kompleks Sukan Tongod disambung September, siap dalam lapan bulan
KOTA KINABALU: Projek pembinaan Kompleks Sukan Tongod yang tertangguh sebelum ini dijangka disambung semula September depan selepas Kementerian Kewangan meluluskan syarikat pelaksana.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kementeriannya kini sedang mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat berkenaan.
Beliau berkata kerja di tapak akan dimulakan sebaik syarikat menerima surat tawaran dan memenuhi semua syarat ditetapkan.
“Kementerian Kewangan sudah meluluskan nama syarikat yang akan melaksanakan projek sambungan Kompleks Sukan Tongod.
“Ketika ini kementerian sedang dalam proses mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat terbabit,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Masiung Banah (Kuamut) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurutnya, projek itu dijangka bermula pada September dan mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk disiapkan.

