Madius cadang ketua kampung jalani pensijilan kompetensi
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah disaran melaksanakan Program Pensijilan Kompetensi berasaskan standard antarabangsa ISO/IEC 17024 bagi Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung.
Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tamparuli) berkata, selain menaikkan elaun, usaha memperkukuh institusi kepimpinan adat perlu disertai pembangunan kompetensi pemegang jawatan.
Katanya, pensijilan itu boleh meliputi kepimpinan, tadbir urus, undang-undang, adat anak negeri, integriti, penyelesaian konflik, pengurusan komuniti dan penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurutnya, program itu bertujuan mengangkat martabat institusi kepimpinan adat supaya lebih profesional serta diyakini masyarakat.

