Pembangunan mapan Putatan kekal jadi keutamaan, kata Shahelmey

PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata agenda pembangunan mapan di kawasan itu akan terus menjadi keutamaan bagi meningkatkan taraf kehidupan, sosial dan ekonomi penduduk.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur dan pelaksanaan program komuniti penting untuk memastikan Putatan terus berkembang sebagai kawasan yang berdaya saing dan menjadi destinasi pembangunan masa depan.

Menurutnya, kawasan Parlimen Putatan menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM2 juta setahun yang dimanfaatkan untuk pelbagai projek kemudahan awam.

Antara projek yang telah dilaksanakan termasuk pembinaan Dewan Terbuka SK Contoh, padang SMK Tansau, astaka SMK Tansau, padang SMK Putatan, lampu jalan serta sistem perparitan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Padang Kampung Duvanson yang menelan kos kira-kira RM300,000 dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Shahelmey turut memaklumkan laluan Pan Borneo Pakej Enam melibatkan Ketiau-Penampang-Inanam dijangka siap pada Ogos dan bakal menjadi laluan alternatif yang mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kota Kinabalu.

Berita Berkaitan