GRS di landasan tepat hadapi PRU16

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai ramuan politik yang tepat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), menurut Bendahari Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Apas, Datuk Najib Tay Abdullah.

Najib berkata antara faktor yang memberi kelebihan kepada GRS ialah komposisi parti dalam gabungan itu yang menurutnya mencerminkan kemajmukan masyarakat Sabah, selain diterajui pemimpin berpengalaman dalam politik negeri dan nasional.

Beliau turut menyifatkan Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai antara faktor penting dalam menyatukan parti-parti yang sebelum ini pernah berada di blok politik berbeza.

“Saya berpendapat bahawa di Sabah, Hajiji dan barisan pimpinan GRS yang lain tidak mempunyai masalah besar dalam menghadapi PRU16.

“Ini kerana di Sabah, kita telah mengamalkan penyatuan antara semua parti, baik BN dan PH yang turut berada dalam kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Najib, pentadbiran Hajiji juga dilihat lebih memberi tumpuan kepada pembangunan negeri berbanding percaturan politik berterusan.

Beliau merujuk usaha berkaitan tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pelaksanaan pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 serta beberapa inisiatif pembangunan sebagai antara perkara yang menurutnya menunjukkan pendekatan pentadbiran kerajaan negeri.

Najib turut mengetengahkan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Sabah dan Rumah Mesra SMJ sebagai antara inisiatif yang memberi tumpuan kepada kebajikan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Inilah dikatakan sebuah kerajaan yang bekerja dan kurang bercakap hal politik sentiasa.

“Jika terdapat kelemahan, kritiklah secara membina, bukannya secara membuta tuli sahaja,” katanya.

Mengulas persaingan menjelang PRU16, Najib mendakwa belum tentu pentadbiran lain mampu menunjukkan kecekapan seperti kerajaan diterajui GRS bersama sekutunya.

Beliau berkata rekod pentadbiran kerajaan negeri menjadi antara asas keyakinannya bahawa GRS mempunyai kedudukan yang baik untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Berita Berkaitan