Tambang Sabah-Semenanjung mahal, kerajaan digesa cari penyelesaian

KOTA KINABALU: Harga tiket penerbangan antara Sabah dan Semenanjung yang didakwa semakin mahal perlu ditangani segera bagi mengurangkan beban rakyat terutama pelajar dan golongan yang perlu berulang-alik untuk bertemu keluarga.

ADUN Karambunai, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, berdasarkan semakan bagi beberapa tempoh akan datang termasuk hari biasa serta musim cuti sekolah, kebanyakan harga tiket sehala berada sekitar RM450 dan ke atas.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kos perjalanan pergi dan balik antara Sabah dengan Kuala Lumpur boleh mencecah sekurang-kurangnya RM800 hingga RM900 sehala bagi seorang penumpang.

“Bayangkan tuan-puan, saya rasa harga seumpama ini sangat membebankan dan langsung tidak ada semangat integrasi nasional,” katanya.

Beliau berkata, tambang tinggi boleh menjadi halangan kepada rakyat yang mempunyai keluarga di Sabah dan Semenanjung, selain memberi kesan besar kepada mereka yang perlu melakukan perjalanan secara kerap.

Aliakbar turut membangkitkan beban ditanggung pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung apabila mahu pulang menemui ibu bapa terutama ketika musim cuti.

Justeru, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Sabah meneliti mekanisme bersesuaian bagi menangani isu tambang penerbangan tersebut yang disifatkannya antara perkara penting menyentuh kepentingan rakyat.

Berita Berkaitan