KPDN sita lima gelen diesel tanpa permit
LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menyita lima gelen mengandungi diesel selepas ditemukan dalam sebuah kenderaan yang ditinggalkan tanpa pemilik di Ujong Pasir, di sini.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, penemuan itu dibuat menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan sepasukan pegawai penguat kuasa hasil aduan pengguna.
Menurutnya, diesel berkenaan dipercayai dimiliki tanpa permit atau kebenaran bertulis bagi barang kawalan. Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM5,377 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam kes berasingan, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap sebuah pasar mini selepas mendapati peniaga memaparkan dua tanda harga berlainan pada bahagian ayam yang dijual.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999. KPDN Labuan menegaskan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan barang kawalan dan ketelusan harga.

