Op Sasar: 17 warga Filipina ditahan, termasuk 5 kanak-kanak

LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan 17 warga Filipina, termasuk lima kanak-kanak lelaki, dalam Op Sasar di dua penempatan warga asing awal pagi tadi.

Pengarah JIM Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata, operasi kira-kira 12.30 tengah malam itu menyasarkan penempatan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi.

Katanya, seramai 128 individu diperiksa sebelum 17 warga Filipina berusia antara empat hingga 56 tahun ditahan.

Mereka terdiri daripada lapan lelaki, empat wanita dan lima kanak-kanak lelaki yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Labuan dan lokap IPD Labuan bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut.

Operasi itu membabitkan 73 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JPN, PDRM, AADK, APM dan RELA.

JIM Labuan berkata operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang imigresen negara.

Berita Berkaitan