Tular jalan berlubang, parkir Hospital Pitas akhirnya ditabur batu

PITAS: Lubang di kawasan parkir Hospital Daerah Pitas akhirnya ditabur batu sebagai penyelesaian sementara selepas aduan seorang penduduk mengenai keadaan jalan itu tular di media sosial.

Sebelum ini, Sabah News Today (SNT) melaporkan rungutan penduduk dikenali sebagai Oh Mow yang mendakwa kerosakan berkenaan sudah terbiar sejak beberapa bulan lalu.

Menerusi TikTok, beliau menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Pitas mengambil tindakan segera kerana lubang di kawasan parkir hospital itu bukan sahaja menyukarkan pengguna, malah berisiko menyebabkan kerosakan kenderaan.

Susulan perhatian terhadap isu berkenaan, lubang terbabit kini ditabur batu bagi membolehkan kenderaan melalui kawasan itu dengan lebih mudah.

Bagaimanapun, penduduk mahu tindakan itu tidak terhenti dengan penyelesaian sementara dan berharap kerja penurapan menggunakan premix dilakukan.

“Terima kasih pihak terbabit. Akhirnya lubang ditabur batu. Kami minta ditampal dengan premix, bukan batu,” kata Oh Mow.

Menurutnya, keadaan selepas ditabur batu sekurang-kurangnya mengurangkan risiko kenderaan terhentak ketika melalui kawasan berkenaan.

Penduduk berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan susulan supaya laluan di kemudahan kesihatan itu dibaiki secara lebih kekal.

Berita Berkaitan