Teknologi kultur tisu pacu pembangunan Paulownia di Sabah
KOTA KINABALU: Potensi tanaman Paulownia sebagai sumber ekonomi baharu di Sabah bakal diperkasakan menerusi penggunaan teknologi kultur tisu hasil kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Koperasi Arus Gemilang Sabah Berhad (KAGSB).
Menerusi kerjasama itu, Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS memberi tumpuan kepada penghasilan anak benih Paulownia berkualiti tinggi secara seragam dan berskala besar bagi menyokong pembangunan ladang serta industri hiliran pada masa depan.
Projek yang diketuai Profesor Madya Dr. Wilson Yong Thau Lym itu menggunakan teknologi kultur tisu yang membolehkan bahan tanaman dihasilkan dalam kuantiti lebih besar dan tempoh lebih singkat berbanding pembiakan secara konvensional.
Beliau berkata, projek tersebut turut menjadi platform membawa hasil penyelidikan universiti keluar dari makmal untuk diaplikasikan secara langsung dalam industri dan pembangunan perladangan.
Pengarah IPB, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau berkata, kepakaran bioteknologi tumbuhan yang dimiliki institut berkenaan boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan bahan tanaman berkualiti, sekali gus memastikan inovasi universiti memberikan impak kepada masyarakat dan industri.
Pengerusi KAGSB, Eddy Berhan pula berkata, pihaknya melihat Paulownia bukan sekadar tanaman ladang tetapi berpotensi mewujudkan rantaian nilai agroperhutanan baharu yang mampu memberikan manfaat ekonomi kepada pemilik tanah dan komuniti setempat.
Dalam jangka panjang, kerjasama UMS-KAGSB menyasarkan pembangunan rantaian nilai bersepadu bermula daripada penghasilan anak benih melalui kultur tisu, penanaman dan pengurusan ladang sehingga pembangunan aplikasi serta produk inovatif berasaskan Paulownia.

