SUKMA 2026: Selangor sapu dua emas bola keranjang 3×3
KLANG: Selangor membuka kempen kutipan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan bergaya apabila menyapu bersih dua pingat emas acara bola keranjang 3×3 menerusi skuad lelaki dan wanita di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi, hari ini.
Skuad wanita Selangor tampil dominan apabila membelasah Wilayah Persekutuan (WiPers) 21-4 pada aksi final untuk mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi lalu di Sarawak.
Kapten Selangor, Elaine Chong Hui Lin berkata, kejayaan itu bukan mudah meskipun mereka mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri kerana pasukan negeri lain memberikan tentangan sengit sepanjang kejohanan.
Dominasi tuan rumah diteruskan skuad lelaki apabila turut menewaskan WiPers 21-13 dalam final, sekali gus memastikan kedua-dua emas bola keranjang 3×3 menjadi milik Selangor.
Kapten skuad lelaki, Yap Zen Haw berharap kemenangan itu menjadi pembakar semangat untuk memburu satu lagi emas menerusi acara 5×5 yang membuka saingan esok.
Sementara itu, Negeri Sembilan meraih kedua-dua gangsa selepas menewaskan Johor 16-12 dalam kategori wanita dan mencatat kemenangan 21-19 bagi kategori lelaki.

