Anwar: Memang ada ‘sakau’ dalam Tabung Haji
MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbuatan yang disifatkannya sebagai “sakau” memang berlaku dalam Lembaga Tabung Haji (TH), merujuk kepada kehilangan dana berbilion ringgit yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, istilah itu tidak seharusnya dielakkan sekiranya fakta menunjukkan berlaku kehilangan wang dalam institusi yang diamanahkan mengurus simpanan umat Islam.
“Ada orang tidak suka istilah sakau. Saya nak ulang di Melaka ini memang ada sakau dalam Tabung Haji. RM12 bilion hilang, bukan sakau? Memang ada sakau,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka, hari ini.
Beliau menegaskan tindakan perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab tanpa mengira kedudukan atau latar belakang politik.
Menurut Anwar, kesan daripada perbuatan segelintir individu akhirnya terpaksa ditanggung oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Yang menyakau itu sesetengah sahaja, tetapi yang terpaksa bayar dan tanggung, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

