Kepelbagaian kaum kekuatan Sabah, kata Joniston
KOTA KINABALU: Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa di Sabah perlu terus dipelihara kerana ia menjadi antara kekuatan utama dalam membina masyarakat yang bersatu padu, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, kepelbagaian di negeri itu bukan sesuatu yang harus memisahkan masyarakat, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian.
“Inilah keistimewaan Malaysia, khususnya Sabah, sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian agama, etnik, budaya dan bahasa.
“Masyarakatnya telah hidup berdampingan sejak sekian lama dengan mengamalkan sikap saling menghormati, memahami dan bertolak ansur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Doa Sayangi Malaysia Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Sri Pasupathinath Alayam Temple, di sini, Ahad.
Joniston berkata, nilai kasih sayang, toleransi, hormat-menghormati dan keprihatinan perlu terus dipupuk kerana kemajuan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada pembangunan ekonomi, tetapi juga kekuatan hubungan antara rakyat.
Menurutnya, masyarakat yang saling memahami dan menghormati mampu membina asas kukuh untuk menghadapi pelbagai cabaran pada masa depan.
Beliau berkata, semangat patriotisme juga bukan hanya diterjemahkan menerusi sambutan dan pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya boleh dizahirkan melalui doa, rasa syukur serta usaha bersama menjaga keamanan dan keharmonian negara.
Katanya, program itu turut memberi ruang kepada penganut bukan Islam menzahirkan kesyukuran atas keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati sebagai rakyat Malaysia mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.
“Walaupun kita berbeza dari segi cara beribadat dan pegangan agama, kita berkongsi harapan yang sama terhadap tanah air yang menjadi tempat kita hidup, membina keluarga dan mencorakkan masa depan generasi akan datang,” katanya.
Joniston berharap program seumpama itu diteruskan dan mendapat penyertaan lebih luas, terutama golongan muda, supaya nilai toleransi, perpaduan dan saling menghormati dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.

