Sabah FC mahu buka kempen Liga Super dengan langkah kanan
KOTA KINABALU: Sabah FC mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memulakan kempen Liga Super Malaysia 2026/2027 dengan keputusan positif apabila menerima kunjungan Star City FC di Stadium Likas, malam ini.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garido berkata, persiapan skuad The Rhinos berjalan lancar termasuk menerusi program pramusim di Indonesia yang membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan pemain.
Menurutnya, tempoh persiapan itu turut digunakan untuk membentuk persefahaman antara pemain baharu dan tonggak sedia ada selain memperkemaskan taktikal serta corak permainan pasukan.
“Kami sudah melalui persiapan yang baik dan sekarang masanya untuk memulakan saingan.
“Kami mahu memulakan musim dengan keputusan positif dan pada masa sama mempersembahkan bola sepak yang menarik kepada penyokong,” katanya.
Torres Garido berkata, Sabah FC akan terus berpegang kepada identiti permainan yang dibentuk sepanjang pramusim.
Mengulas Star City FC, beliau menyifatkan lawan itu sebagai pasukan bercita-cita tinggi selepas menduduki tempat kelima musim lalu serta memperkuatkan skuad dengan beberapa pemain berpengalaman.
Antaranya bekas penyerang Sabah FC, Ramón Machado yang pernah menyarung jersi The Rhinos sebelum meneruskan karier di Liga Perdana Azerbaijan.
Torres Garido turut berharap penyokong memenuhi Stadium Likas untuk membantu pasukan membina semula kekuatan di gelanggang sendiri.
Sabah FC dan Star City FC dijadual berentap pada jam 8.15 malam ini.

