Sembilan pelajar SM Sains Sabah cedera bas kemalangan
TUARAN: Sembilan pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Sabah cedera ringan selepas bas sewa yang membawa 35 pelajar dan seorang guru terbabit dalam kemalangan di Simpang Tiga Jalan Kota Belud-Kundasang, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11 pagi sebelum dua anggota bersama sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, lokasi terletak kira-kira 39 kilometer dari balai dan pasukan tiba pada pukul 11.40 pagi.
“Pemeriksaan mendapati sembilan pelajar mengalami kecederaan ringan dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa dibawa menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tuaran dan Kota Belud serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan APM.
Menurut Elge, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan kawasan kejadian selamat dan terkawal sebelum operasi ditamatkan pada pukul 12.32 tengah hari.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

