UMS, universiti Jepun turun padang tangani sisa plastik di Pulau Gaya
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Aoyama Gakuin University, Jepun melaksanakan aktiviti khidmat komuniti sosial antarabangsa di Pulau Gaya bagi meningkatkan kesedaran dan tindakan terhadap pencemaran sisa plastik.
Program itu melibatkan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS bersama 10 mahasiswa dari Jepun.
UMS diwakili Dr Mohamad Tahir Mapa, Dr Mohamad Ikhram Mohamad Ridzuan dan Dayang Masleha Mohd Rahman, manakala delegasi Aoyama Gakuin University diketuai Profesor Dr Yoshio Aizawa.
Antara aktiviti dilaksanakan ialah kutipan sisa, pemerhatian persekitaran penempatan, interaksi bersama komuniti serta pembelajaran lapangan.
Penglibatan penduduk termasuk kanak-kanak membolehkan peserta memahami dengan lebih dekat cabaran pengurusan sisa, akses kepada kemudahan dan corak pembuangan di kawasan pesisir.
Program itu turut mengambil kira dapatan kajian UMS di Pantai Teluk Likas pada 2025 yang mendapati PET merangkumi 34 peratus profil sisa plastik, diikuti HDPE 24 peratus dan PP 17 peratus.
Botol minuman sekali guna dan pembungkus makanan pakai buang merupakan antara bahan paling lazim ditemui.
Kajian lain di Kuala Penyu pada 2026 pula menunjukkan pengetahuan memainkan peranan penting dalam membentuk amalan pengurusan sisa plastik.
Program itu turut menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya berkaitan pendidikan, pengurusan sisa, pengurangan pencemaran marin dan kerjasama antarabangsa.

