Kanak-kanak 11 tahun maut lemas, empat lagi terselamat
PITAS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas lemas di Sungai Bengkoka, Kampung Pondoi, di sini, manakala empat lagi mangsa terselamat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.17 petang sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pitas digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 10 kilometer.
Operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan menggunakan Bot NADMA menerusi kaedah Surface Water Rescue dalam radius satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba.
Pada pukul 7.36 pagi, mangsa ditemukan penduduk kampung di Sungai Bengkoka kira-kira satu kilometer dari pusat kawalan.
Mangsa kemudiannya dibawa keluar menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada polis dan dihantar ke hospital, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Empat lagi mangsa ialah dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan 14 tahun yang hampir lemas dan dihantar ke hospital, seorang perempuan berusia 18 tahun serta seorang lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan selamat.
Operasi ditamatkan pada pukul 8.25 pagi selepas tiada lagi bahaya dikesan di lokasi kejadian.

