SAFMA perkasa industri perikanan menerusi teknologi
SERDANG: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) mahu memperkukuh industri perikanan Sabah menerusi teknologi, pendigitalan, rantaian sejuk dan pembangunan produk bernilai tambah.
Pengerusinya, Datuk Mohammad Mohamarin berkata, pendekatan itu penting bagi meningkatkan daya saing industri selain menyokong keterjaminan makanan negara.
Menurutnya, penyertaan SAFMA pada MAHA 2026 turut menjadi platform memperkenalkan potensi hasil laut Sabah kepada pemain industri, pengguna dan pelabur.
“Bagi SAFMA, ikan bukan sekadar sumber protein tetapi sebahagian daripada rantaian ekonomi yang melibatkan nelayan, pengangkutan, pemprosesan, pemasaran dan pengguna,” katanya ketika melawat gerai SAFMA di Pavilion Sabah sempena MAHA 2026 di MAEPS.
Beliau berkata, SAFMA turut mengetengahkan Ikan Rakyat Sabah sebagai produk sejuk beku yang berpotensi diperluaskan ke pasaran Semenanjung Malaysia.
Katanya, ekonomi biru turut membuka peluang dalam pemprosesan, teknologi perikanan, bioteknologi marin dan keusahawanan, sekali gus memberi manfaat lebih besar kepada nelayan serta pengusaha tempatan.

