PDRM Sabah perangi dadah, elak negeri jadi transit sindiket
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah akan terus memperketat usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah bagi memastikan negeri ini tidak dijadikan transit sindiket.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kejayaan rampasan dadah setakat ini membuktikan hasil kerjasama erat antara PDRM dengan agensi penguatkuasaan lain.
“PDRM akan terus berusaha membanteras kemasukan dadah ke Sabah, manakala rampasan yang dilakukan setakat ini turut membuktikan hasil kerjasama dengan agensi-agensi lain.
“Kita mengharapkan pihak agensi akan terus bekerjasama dengan PDRM untuk mengatasi masalah yang menjadikan Sabah sebagai transit sindiket pengedaran dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Menurut Jauteh, kunjungan itu turut bertujuan memperkenalkan barisan pegawai baharu yang akan menerajui beberapa jabatan penting di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Mereka termasuk Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah serta beberapa ketua jabatan dan Ketua Polis Daerah yang baharu.
Dalam pada itu, Jauteh berkata PDRM Sabah turut memperluas pendekatan Kepolisan Komuniti bagi mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Katanya, beberapa siri program akan dilaksanakan bagi menggalakkan masyarakat menjauhi dadah serta menyalurkan maklumat kepada polis jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.

