Sabah First: Ewon umum pakej pajakan khas, caj kontena lebih rendah
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkenalkan dua inisiatif baharu di bawah agenda Sabah First bagi membantu syarikat tempatan mengembangkan perniagaan dan mengurangkan kos pemain industri logistik.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif pertama membabitkan pakej khas pajakan tanah kepada syarikat tempatan di taman perindustrian, bermula di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Di bawah dasar sedia ada, tanah perindustrian di KKIP dipajak selama 30 tahun dan keseluruhan bayaran perlu dijelaskan dalam tempoh dua tahun.
Ewon berkata syarat itu memberi cabaran kepada syarikat tempatan terutama dari segi aliran modal dan mendapatkan pembiayaan bank.
Menerusi pakej baharu yang dipersetujui Kabinet Sabah, syarikat tempatan yang mahu mengembangkan operasi di KKIP dibenarkan membuat bayaran pajakan secara tahunan, berbanding menjelaskan keseluruhan sewaan 30 tahun dalam tempoh dua tahun.
MINDET juga akan bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi membantu syarikat tempatan mendapatkan modal untuk membina kilang atau membeli mesin.
Sementara itu, inisiatif kedua membabitkan pengurangan caj penyimpanan kontena di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
Tempoh penyimpanan percuma akan dilanjutkan daripada tiga kepada empat hari, manakala kadar baharu bagi hari kelima hingga ketujuh turut dikurangkan.
Bagi kontena 20 kaki, caj ditetapkan RM8 untuk kontena kosong dan RM16 bagi kontena berisi, manakala kontena 40 kaki masing-masing dikenakan RM15 dan RM30.
Kadar baharu itu akan berkuat kuasa 7 Sept, ketika projek pembesaran pelabuhan berkenaan kini mencapai 65% kemajuan.
Ewon berkata langkah itu bertujuan meringankan kos pemain logistik, namun pada masa sama memastikan kontena tidak dibiarkan terlalu lama di pelabuhan.

