Ranau semakin jadi tumpuan pelabur, usahawan
RANAU : Perkembangan pesat sektor perniagaan di Ranau menunjukkan daerah itu semakin berpotensi menjadi antara pusat pertumbuhan ekonomi baharu di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keyakinan pengusaha tempatan dan luar daerah membuka perniagaan di Ranau membuktikan daerah berkenaan semakin mendapat perhatian pelabur dan usahawan.
“Pemilihan daerah ini sebagai lokasi perniagaan membuktikan Ranau mempunyai ekonomi yang baik, selain menjadi tumpuan penduduk dan pelancong.
“Pada masa sama, pengusaha perlu memastikan mutu produk serta perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menjamin kelangsungan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Kopi Saigon x Nasi Kak Wok Jee Harris di Pekan Ranau, pada Sabtu.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, aspek perkhidmatan perlu diberi keutamaan kerana layanan yang baik kepada pelanggan menjadi antara faktor penting dalam memastikan sesebuah perniagaan terus mendapat kepercayaan pengguna.
Katanya, penyediaan makanan yang memenuhi standard ditetapkan juga penting bagi memastikan pelanggan menerima pengalaman dan nilai yang sewajarnya.
Beliau berharap kehadiran lebih banyak perniagaan berjenama di Ranau mampu menjadi inspirasi kepada usahawan tempatan untuk terus berinovasi, meningkatkan daya saing serta meneroka peluang perniagaan di daerah lain di Sabah.
Menurutnya, pertambahan aktiviti komersial bukan sahaja memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi masyarakat setempat.

