Tembaga pencawang lesap, polis buru dalang

BEAUFORT: Polis mengesan suspek yang dipercayai terlibat mencuri komponen tembaga di Pencawang SESB Bandar Mingo, di sini, membabitkan kerugian dianggarkan RM25,000.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Champin Piuh berkata, kehilangan komponen Busbar Earthing dan sambungan Busbar disedari selepas pintu pencawang ditemukan mempunyai kesan umpil.

Menurutnya, kejadian seumpama itu semakin kerap berlaku di daerah Beaufort dan bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada SESB, malah berpotensi menjejaskan bekalan elektrik kepada pengguna.

“Pengusaha dan pembeli barang lusuh dinasihatkan supaya tidak menerima atau membeli tembaga pada harga tidak munasabah atau daripada sumber meragukan,” katanya.

Champin berkata, polis sedang giat menjalankan operasi bagi mengesan suspek dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Berita Berkaitan