Dewan Masyarakat KK bukan sekadar dibaiki, perlu dipulihara ikut warisan

KOTA KINABALU : Kerja pemuliharaan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu perlu dilaksanakan mengikut piawaian warisan dan bukan sekadar dianggap sebagai kerja pembaikan bangunan biasa.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan usaha memulihara bangunan berkenaan.

Menurutnya, kementerian melalui Majlis Warisan Negeri Sabah dan Jabatan Muzium Sabah sedang bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi memastikan kerja pemuliharaan mematuhi keperluan yang ditetapkan.

“Memandangkan Dewan Masyarakat berkenaan merupakan tapak warisan yang dilindungi, kerja pemuliharaannya tidak boleh dianggap sebagai kerja pembaikan bangunan biasa.

“Semua kerja perlu mematuhi Enakmen Warisan Negeri Sabah 2017 serta prinsip-prinsip pemuliharaan yang bersesuaian,” katanya.

Jafry berkata, Jabatan Muzium Sabah turut memberi panduan berkaitan dokumentasi teknikal, skop kerja dan kaedah pemuliharaan.

Katanya, kos projek akan ditentukan berdasarkan keperluan sebenar, manakala DBKK sedang dalam proses memohon peruntukan bagi melaksanakan kerja berkenaan.

Beliau menegaskan, matlamat utama ialah memastikan sejarah, karakter dan nilai warisan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu terus dikekalkan untuk generasi akan datang.

Berita Berkaitan