Lebih tiga juta rakyat Sabah tunggu khabar baik isu 40 peratus

TAWAU: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah bagi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Sabah International Convention Centre (SICC), esok, menjadi tumpuan apabila isu pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari Sabah terus dinantikan.

Aktivis sosial Sabah, Mohd Zaki Harry Susanto berkata, lebih tiga juta rakyat negeri ini mengharapkan perkembangan lebih jelas berhubung tuntutan berkenaan.

Menurutnya, isu 40 peratus bukan sekadar tuntutan politik, sebaliknya berkait dengan hak Sabah serta kemampuan negeri mempercepatkan pembangunan.

“Apabila PMX sendiri hadir ke Sabah untuk mempengerusikan mesyuarat berkaitan pelaksanaan MA63, sudah tentu rakyat meletakkan harapan yang tinggi.

“Rakyat mahu melihat perkembangan yang lebih jelas dan meyakinkan, terutama dalam isu pemberian khas 40 peratus,” katanya.

Mohd Zaki berkata, sumber kewangan yang lebih besar boleh membantu Sabah menangani isu asas termasuk bekalan air, elektrik, jalan raya, kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar.

Bagaimanapun, beliau menyeru rakyat memberi ruang kepada Anwar untuk meneruskan rundingan MA63 sambil menilai kemajuan yang dicapai secara objektif.

Menurutnya, peningkatan pemberian khas kepada Sabah daripada lebih RM100 juta sebelum ini kepada RM1.5 bilion di bawah pentadbiran semasa merupakan perkembangan positif, walaupun jumlah itu menurutnya masih belum mencukupi.

“Dalam memperjuangkan hak Sabah, kita perlu tegas. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu berlaku adil.

“Rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu. Mereka mahu melihat kemajuan, garis masa dan komitmen yang boleh diukur,” katanya.

Mohd Zaki turut menyifatkan pendekatan kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang mengutamakan rundingan dengan Putrajaya sebagai strategi yang perlu dinilai berdasarkan hasil.

Katanya, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu dimanfaatkan untuk mempercepatkan penyelesaian tuntutan yang masih tertangguh.

“MA63 bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah soal hak dan masa depan Sabah.

“Sesiapa pun yang memerintah, tanggungjawab memperjuangkan hak Sabah mesti diteruskan,” katanya.

Beliau berharap mesyuarat di SICC menjadi titik penting ke arah penyelesaian isu berkenaan, termasuk memberikan hala tuju lebih jelas mengenai formula dan pelaksanaan pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.

Berita Berkaitan