Pekerja binaan maut dipercayai jatuh dari tingkat 20

PENAMPANG: Seorang pekerja binaan warga asing berusia 20 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari aras 20 sebuah bangunan dalam pembinaan di Jalan Bundusan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan yang berlaku kira-kira jam 10.40 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan di aras 20 sebelum dipercayai terjatuh ke aras bawah.

“Pemeriksaan di tempat kejadian dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sammy berkata, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Orang ramai juga diminta tidak menyebarkan gambar atau video berkaitan kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa.

Individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, SM Patrick Duffy Francis Dicka di talian 013-838 5335 atau IPD Penampang di talian 088-712222.

Berita Berkaitan